Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W
Sekadar berkongsi kepada anda tentang khutbah terakhir yang disampaikan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W di Padang Arafah
Pada tahun ke 10 Hijrah
ketika mengerjakan Hujjatul Wada’, Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbahnya
yang terakhir (Khutbah Wida’). Baginda bertolak ke Arafah dari mina setelah
naiknya matahari 9 Zulhijjah. Sebuah khemah didirikan untuk baginda dan baginda
masuk serta berada di dalamnya sehingga tergelincir matahari (waktu zohor).
Selepas
itu, baginda pun mengarahkan disiapkan untanya al-Qaswah, lalu menaikinya
sehingga baginda tiba di Wadi Uranah. Di hadapan baginda, ribuan para sahabat
mengelilingi baginda. Semuanya menanti penuh debar. Apakah ingin disampaikan
baginda. Ramainya manusia yang berhimpun pada haji wida’ itu. Ada riwayat
mengatakan jumlahnya mencecah 144,000 orang semuanya.
Baginda
pun menyampaikan khutbahnya yang bersejarah:
“Segala
puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan, beristighfar dan bertaubat
kepada-Nya. Kita berlindung dengan-Nya daripada kejahatan diri dan keburukan
amalan kita. Sesiapa yang Allah berikan hidayat kepadanya, maka tidak ada siapa
yang boleh menyesatkannya. Sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada
siapa yang boleh memberikan hidayat kepadanya. Aku menyaksikan bahawa tidak ada
Tuhan melainkan Allah yang Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Aku menyaksikan
bahawa Muhammad adalah hamba dan rasul-Nya. Aku berpesan kepada kamu supaya
mentaati-Nya. Aku membuka khutbahku ini dengan mukaddimah yang baik.
Wahai
manusia! Sila dengar apa yang akan aku katakan ini. Aku tidak tahu apakah aku
akan dapat bersama kamu semua lagi selepas tahun ini, di tempat ini selamanya.
1.
Sesunguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan diri kamu telah
terpelihara (diharamkan) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini dan bandar
ini Makkah dan kawasan sekitarnya.
2.
Sesiapa yang memegang amanah, maka dia hendaklah mengembalikan amanah tersebut
kepada tuan punyanya.
3.
Ingatlah! Segala amalan jahiliyyah telah berada di tapak kakimu (iaitu telah
dihapuskan).
4.
Tuntutan hutang darah di zaman jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan.
Tuntutan darah pertama yang aku batalkan adalah darah Rabi’ah bin Al-Haris yang
disusukan oleh Bani Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.
5.
Riba adalah haram dan aku memulakannya dengan membatalkan riba yang akan
diterima oleh Abbas bin Abdul Mutalib. Sesungguhnya ia dihapuskan
keseluruhannya.
6.
Wahai manusia! Takutilah Allah SWT di dalam urusan yang berkaitan dengan
wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah
SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimah Allah. Wajib ke atas
mereka untuk menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan
perbuatan buruk. Jika mereka lakukannya maka kamu berhak untuk menghukum mereka
tetapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan. Jika isteri-isteri kamu setia
dan jujur terhadapmu, maka wajib ke atas kamu menjaga makan pakai dengan baik.
7.
Semua orang mukmin adalah bersaudara, oleh itu tidak halal bagi seorang muslim
mengmbil harta orang lain kecuali setelah mendapat kebenaran daripada tuannya.
8.
Jangan kamu kembali menjadi kafir selepas pemergianku, di mana sebahagian
daripada kamu memerangi sebahagian yang lain. Aku telah tinggalkan untuk kamu
suatu panduan, jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan
sesat selama-lamanya; kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.
9.
Wahai manusia! Sesungguhnya tidak ada lagi nabi selepasku dan tidak ada lagi
umat selepas kamu. Maka aku menyeru agar kamu menyembah Allah SWT Tuhan kamu
dan menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan serta
mengeluarkan zakat hartamu dengan kerelaan. Dan kerjakanlah haji ke Rumah Suci
Tuhanmu (kaabah), untuk itu kamu akan masuk syurga Tuhanmu.
10.
Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada
Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah. Orang yang paling baik di
kalangan kamu ialah mereka yang paling bertaqwa kepada Allah. Tidak ada
kelebihan bangsa Arab terhadap bangsa lain kecuali dengan taqwa.
11.
Allah SWT telah menetapkan hak menerima pusaka kepada keluarga si mati, oleh
itu tidak boleh membuat wasiat kepada penerima pusaka. Sesungguhnya laknat
Allah ke atas sesiapa yang mengaku sebagai bapa kepada bukan bapanya yang sebenar,
juga laknat dari para malaikat dan seluruh manusia.
12.
Kemudian kamu akan disoal tentang aku, maka apa yang akan kamu jawab? Mereka
menjawab, “Kami bersaksi bahawa tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan
risalah-Mu.” Baginda lalu mengangkat tangannya ke langit dan menurunkannya ke
arah orang ramai sambil berkata, “Ya Allah! Saksikanlah.” Baginda Rasulullah
mengucapkannya sebanyak tiga kali. Orang yang mengulang kembali ucapan
Rasulullah SWT dengan kuatnya di Arafah ialah Rabi’ah bin Umaiyyah bin Khalaf
ra.
Baginda
berkhutbah di atas untanya al-Qaswah. Di sinilah turunnya wahyu mengenai
kesempunaan agama Islam. “Pada hari ini telah
disempurnakan bagimu agamamu, dan telah kucukupkan nikmat-ku kepadamu, dan
telah kuredhakan Islam itu menjadi agama untukmu. (Al-Maidah
ayat 3)
Selepas
baginda membacakan wahyu ini, para sahabat saling berpelukan kerana begitu
gembira. Namun Sayyidina Abu Bakar perasan al-Qaswah unta nabi menitiskan air
mata dengan banyak. Beliau pun ikut menangis.
Sayyidina
Umar bertanya apakah sebabnya lalu Sayyidina Abu Bakar menjelaskan. Di sebalik
berita gembira sempurnanya agama Islam, wahyu penutup itu juga petanda khabar
duka. Baginda pasti akan meninggalkan mereka kerana tugasnya sebagai Rasul
sudahpun selesai. Mendengar itu Sayyidina Umar pun menangis sama, begitu juga
dengan para sahabat yang lain.
Aku merinduimu Ya Rasulullah.....


Ulasan
Catat Ulasan