Assalamualaikum wbh kepada semua warga Islam di luar sana. Kali ini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang seorang tokoh yang tidak asing lagi dalam dunia pemikiran Islam iaitu Imam al-Ghazali. Nak tahu apa yang saya ingin ceritakan? Baca ceritanya di bawah yee. Kalau saya ade kesalahan dalam nota yang akan saya sampaikan, sila tegur saya yup. Keep it out :)
PEMURNIAN TASAWWUF OLEH IMAM AL-GHAZALI
Sebelum daripada dibicarakan perkara-perkara
lain eloklah dibicarakan riwayat hidupnya secara ringkas untuk memberi gambaran
berkenaan dengan alam di mana beliau dilahirkan dan perkembangan peribadinya
yang utama itu. Beliau ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin
Ta’us Ahmad al-Tusi al-Shafi’I yang terkenal secara umumnya dengan nama
al-Ghazali, yang dilahirkan pada 450 Hijrah/1058 Masihi di Tabaran, satu
daripada dua buah kota kecil di Tus, sekarang dalam kawasan Meshed di Khurasan.
Beliau bukannya ulama yang tersohor pertama
dalam keluarganya, kerana datuk saudaranya bernama abu Hamid al-Ghazali
(men.435 H/1043 M) merupakan seorang ahli ilmu kalam dan ahli fiqh yang
terkenal; mungkin beliau ini menjadi contoh ikutan bagi orang muda yang
berhemah tinggi itu.
Semenjak awal lagi beliau terdedah kepada
pengaruh amalan-amalan dan ilmu tasawwuf, ayahandanya seorang yang beramal
dengan amalan tasawwuf yang sangat warak, mengikut laporan al-Subki, sehingga
dikatakan ia hanya makan dari hasil usaha tangannya sendiri, dan beliau selalu
bersama dengan mereka yang alim.
Imam Ghazali rh yang yatim itu dididik oleh
sufi yang menjadi sahabat ayahandanya, bersekali dengan saudaranya Ahmad.
Semenjak masa kanak-kanaknya Imam al-Ghazali mempelajari ilmu kalam dan fiqh,
mula-mulanya dalam kota kecil kelahirannya dengan Shaikh Ahmad ibn Muhammad
al-Radhkhani al-Tusi, kemudian beliau pergi melanjutkan pengajiannya di Jurjan
di bawah didikan Imam abu Nasr al-Isma’ili.
Ibn ‘Asakir menyebutkan bahawa Imam al-Ghazali
mengambil ilmu tentang hadith al-Bukhari daripada Abu Sahl Muhammad ibn Ahmad
al-Hafsi, dan antara syaikh-syaikhnya yang lain dalam ilmu hadith ialah Nasr
ibn ‘Ali ibn Ahmad al-Hakimi al-Tusi, ‘Abd Allah ibn Muhammad ibn Ahmad
al-Khawari, dan Muhammad ibn Yahya ibn Muhammad ibn Suja’i al-Zawzani dan
seterusnya.
Sewaktu dalam perjalanan pulang dari Jurjan
ada kisah yang menarik tentang Imam ini yang berkisar bagaimana beliau
dirompak. Bila para perompak itu meninggalkannya, beliau mengikuti mereka, tetapi
beliau diberi amaran agar tidak mengikuti mereka itu kalau tidak beliau akan
mati. Lalu beliau meminta dengan nama Allah supaya dikembali kertas-kertas yang
mengandungi catitan-catitan pelajarannya kerana kertas itu tidak ada gunanya
untuk mereka. Bila ditanya tentang kertas apa yang ada dalam beg itu beliau
menjawab bahawa itu mengandungi catitan-catitan ilmunya yang didengarinya yang
kerananya beliau jauh mengembara. Perompak itu ketawa dan bertanya “bagaimana
kamu memperolehi ilmu mereka bila kami ambil kertas itu maka kamu tidak berilmu
lagi”. Ini suatu yang aneh berlaku. Bagaimanapun catitan-catitannya diserahkan
kembali. Apabila beliau kembali ke Tus lepas itu, imam al-Ghazali mengambil
masa tiga tahun menghafal semua catitan-catitan yang dipelajarinya itu.
Setelah beliau kembali dari Jurjan dan berada
di Tus buat beberapa waktu, mungkin di waktu ini beliau mempelajari tasawwuf di
bawah Shaikh Yusuf al-Nassaj dan mungkin juga melakukan latihan-latihan
kesufian. Sewaktu berumur lebih kurang dua puluh tahun beliau pergi melanjutkan
pelajarannya ke Maktab Nizamiyyah di Nishapur untuk berguru kepada Imam
al-Haramain iaitu Abu al-Ma’ali al-Juwaini, yang merupakan guru generasi yang
keempat dari Imam al-Ash’ari sendiri dalam akidah ajaran Imam itu. Dalam akademi
itu beliau mempelajari ilmu-ilmu seperti usul al-din, fiqh, falsafah, logik,
ilmu-ilmu sains tabi’I, tasawwuf dan lainnya.
Imam al-Haramain memberi kepada para pelajar
kebebasan berfikir dan kebebasan mengeluarkan pendapat mereka, dan mereka
digalakkan dalam mengambil bahagian dalam perdebatan dan perbincangan tentang
pelbagai jenis persoalan yang dihadapi. Dalam perdebatan-perdebatan dengan
rakan-rakannya Imam al-Ghazali menunjukkan kemampuan berfikir yang luas dan
tajam, dan ia mempunyai kebolehan yang tinggi dalam kepetahan berhujah yang ini
terbukti kemudiannya dalam tulisan-tulisannya seperti Tahafut al-Falasifah.
Tidak lama kemudiannya beliau berkesempatan
memberi kuliah kepada rakan-rakannya, dan membuat penulisan. Beliau merupakan
seorang yang berfikir secara kritilal dan bebas merdeka; sewaktu beliau menjadi
pelajar di Nizamiyyah di Nishapur beliau merasa tidak berpuas hati dengan
pegangan yang dimilikinya, dan membebaskan dirinya daripada cara bertaklid
semata dalam pegangan agama.
Sewaktu di Nishapur beliau menjadi murid
kepada ulama sufi abu ‘Ali al-Fadl ibn Muhammad ibn ‘Ali al-Farmadhi; daripada
guru sufi inilah beliau lebih banyak lagi mempelajari ilmu berkenaan dengan
pengetahuan dan amalan kesufian. Al-Farmadhi itu sendiri adalah murid kepada
bapa saudara beliau sendiri dan juga murid al-Qushairi (men.465/1074) yang
terkenal itu. Beliau mengamalkan juga amalan-amalan kezahidan yang ketat di
bawah bimbingan beliau ini; sebagaimana yang disebutkan oleh beliau sendiri
keadaannya tidaklah sampai ke tahap boleh mendapat inspirasi murni ‘dari alam
tinggi”.
Waktu itu juga beliau merasa tidak puas hati
dengan pemikiran secara falsafah yang dihadapinya itu termasuk apa yang
diterima secara otoriti dalam hubungan dengan usul al-din. Tekanan dalam tasawwuf
tentang hubungan yang rapat dan mesra dengan Tuhan menjadikan imam utama ini
lebih tidak berpuas hati lagi dengan huraian falsafah dalam usul al-din itu.
Al-Farmadhi meninggal pada tahun 477 /1074 M dan Imam al-Haramain meninggal di
tahun 478 H/1085 M. Waktu itu Imam al-Ghazali berumur dua puluh lapan tahun;
ianya masih sangat bertenaga, dan namanya masyhur dalam alam Islam.
Beliau pergi ke istana Nizam al-Mulk wazir
Malikshah (memerintah waktu itu 465 H/1072-485 H/1092 M) dan berada dalam
kalangan para ahli ilmu kalam dan fuqaha di istana beliau itu. Nizam al-Mulk
itu seorang wazir yang memberi galakan kepada perkembangan ilmu-ilmu, sains,
sastera, dan menghimpunkan sekelilingnya para ulama dan ilmiawan yang terkenal
dan mempunyai ilmu yang mendalam. Beliau biasa mengadakan majlis-majlis
perbincangan ilmiah dan al-Ghazali mendapat namanya yang terkenal kerana
kebolehan debatnya yang sangat baik.
Ilmu pengetahuan al-Ghazali berkenaan dengan
fiqh, usul al-din, dan falsafah sedemikian dikagumi oleh Nizam al-Mulk sehingga
beliau dilantik sebagai professor Usul al-Din di Nizamiyyah itu (diasaskan pada
tahun 458–460 H/1065-67 M) di Baghdad pada tahun 484H/1091M. Waktu itu beliau
berumur tiga puluh empat tahun. Ini merupakan kemuliaan yang sedemikian tinggi di
alam Islam, dan beliau itu diangkat kepada jawatan yang sedemikian sewaktu umur
sedemikian muda, yang tidak pernah orang lain dilantik kepada jawatan
sedemikian sewaktu bermur semuda itu.
Beliau sedemikian berjaya sebagai professor di
Akademi itu; kuliahnya yang sedemikian cemerlang dan kedalaman ilmu
pengetahuannya serta kejelasan huraiannya menarik semakin ramai para pelajar
atau pendengar kepadanya, termasuk mereka dari kalangan para sarjana yang
terkenal di zaman itu. Dengan segeranya ramai mereka mengiktirafi kefasihan,
kedalaman pengetahuan, dan kemampuan beliau sebagai pembicara ilmu, dan
kemudiannya beliau dikirakan sebagai ahli usul al-din yang teragung dalam
tradisi Asha’irah. Maka beliau diminta nasihat dalam perkara-perkara keagamaan
dan siasah dan beliau menimbulkan pengarah yang sebanding dengan pengaruh
pegawai-pegawai negara yang tertinggi.
Beliau mencapai kejayaan tertinggi sebagai
ulama dilihat dari segi keduniaan lahiriahnya, tetapi dari segi batinnya beliau
mula mengalami krisis intelektuil dan kerohanian yang amat mendalam. Rasa
syaknya dan menyoal semua perkara yang ada dahulunya pada beliau mula
menimbulkan dirinya semula dan beliau sampai bersikap kritikal terhadap
mata-mata pelajaran yang diajarkannya sendiri. Beliau merasa kekosongan dalam
huraian-huraian yang berupa helah-helah di kalangan para fuqaha. Sistem huraian
di kalangan ahli ilmu kalam tidak merupakan keyakinan secara ilmu dan
intelektuilnya. Beliau menentang huraian mereka yang memberi penekanan yang
berlebihan tentang perkara-perkara doktrinal, kerana yang demikian membawa
agama menjadi lingkungan sistem ortodoksi dan berupa sebagai soal-jawab yang
dangkal sahaja; perbalahan-perbalahan di kalangan para mutakalimun berupa
perakara-perkara soal-jawab tentang pegangan agama yang tidak ada hubungan
sebenar dengan kehidupan manusia dengan agamanya.
Sekali lagi beliau menumpukan dirinya kepada
penelitian tentang falsafah secara bersungguh-sungguh dan menyeluruh, dan
beliau mendapati bahawa pegangan dan keyakinan tidak boleh dibinakan atas
pemikiran semata-mata. Akal ada peranannya pada tahap-tahap tertentu, tetapi
akhirnya Kebenaran Yang Terakhir memang tidak boleh dicapai dengan akal
fikiran. Dengan menyedari tentang batasan-batasan pemikiran dalam hubungan
dengan teologi, beliau berada dalam rasa syak berkenaan dengan ilmu dan
pegangan lalu beliau merasa tidak tenang jiwanya dan hatinya. Beliau merasa
beliau berada dalam kedudukan yang tidak sebenar.
Akhirnya beliau mendapat kesedaran bahawa
jalan yang sebenarnya ialah jalan tasawwuf yang membawa manusia kepada
kebenaran yang sebenarnya melalui pengalaman rohaniah yang sahih. Beliau
telahpun mempelajari ilmu tasawwuf secara teori dan bahkan ada juga melakukan
amalan-amalannya; tetapi beliau belum lagi mara ke dalam pengalamannya secara
yang sangat jauh. Dia memikirkan bahawa kalaulah beliau menumpukan dirinya
kepada perjalanan kesufian melalui ciri-ciri kezuhudan, serta menekuni
amalan-amalan spiritual, berserta dengan tafakur yang mendalam, beliau
berkemungkinan akan mencapai nur yang sedang dicari-carinya.
Tetapi yang demikian ini melibatkan beliau
meninggalkan kerjaya ilmiah yang cemerlang dan kedudukan keduniaan yang
sedemikian tinggi itu. Beliau terasa juga runtunan untuk mendapat kemasyhuran
dan kehebatan dirinya dalam kehidupan. Tetapi runtunan untuk mencari kebenaran
terlalu amat kuatnya. Beliau merasakan bahawa beliau memerlukan keyakinan yang
menetap pada pegangan, yang diperkuatkan lagi dengan pemikirannya tentang
kedatangan maut. Beliau berada dalam konflik pemikiran dan perasaan sedemikian
selama enam bulan lamanya mulai dari bulan Rajab 488H/ Julai 1095.
Beliau menjadi merusut kesihatan badannya dan
pemikirannya juga amat terganggu; selera makannya dan penghadamannya hilang
sampai suaranyapun tidak ada lagi. Maka senanglah baginya untuk melepaskan
jawatannya sebagai professor lalu ia meninggalkan kota Baghdad pada bulan
dhul-Qa’idah 488 H/ November 1095 M, secara lahirnya beliau menunjukkan bahawa
beliau sedang hendak menunaikan fardhu haji; beliau meminta saudaranya Ahmad
menggantinya memberi pengajaran kepada orang ramai dalam masa
pemergiannya itu; sebenarnya beliau menjalankan ‘uzlah sebagaimana yang
diajarkan oleh para ulama sufi demi untuk mencapai kedamaian fikiran dan hati
serta keselamatan untuk rohnya sendiri.
Beliau menyedekahkan semua harta miliknya
melainkan bahagian-bahagian tertentu yang diamanahkan untuk perbelanjaan
keluarganya, kemudian beliau terus pergi ke Syria.
Selama dua tahun lamanya beliau berada dalam
‘uzlah (tahun 488 H/1095 M ) di salah sebuah daripada menara-menara masjid
Umayyah di Damsyik; kemudian beliau pergi ke Jerusalem untuk menjalankan ‘uzlah
lagi di mana beliau melakukan tafakur yang mendalam di Masjid ‘Umar dan Qubbat
al-Sakhr (The Dome of the Rock). Selepas daripada melawat makam Nabi Ibrahim
a.s. di Hebron, beliau melaksanakan hajinya ke Makkah dan pergi ke Madinah. Itu
diikuti dengan amalan ber’uzlah di tempat-tempat yang mulia dan masjid-masjid,
serta mengembara di padang-padang pasir. Selepas daripada sebelas tahun berada
dalam pengembaraan beliau kembali ke kota kelahirannya Tus, dalam tahun 499
H/1105 M.
Berkenaan dengan pengalaman-pengalamannya
mengikut apa- apa yang berlaku selepas beliau meninggalkan kota Baghdad, tidak
ada apa-apa yang diberitahu olehnya kepada kita. Apa yang diberitahu ialah
bagaimana adanya perkara-perkara yang tidak boleh dihuraiakan yang terlalu
banyak yang berlaku kepadanya dalam bentuk ilham-ilham sewaktu beliau berada
dalam masa ‘uzlahnya itu. Pengalaman-pengalaman itu nampaknya membawa sebagai
natijahnya kepada beliau menerima otoritas Nabi s.a.w. dan tunduk dengan
sepenuhnya kepada kebenaran-kebenaran yang diwahyukan dalam al-Qur’an.
Antara tanda-tanda awal tentang beliau memberi
pembelaan terhadap akidah Ahlis-Sunnah wal-jama’ah (yang memang dahulunya
memang beliau memberi pembelaan terhadapnya, tetapi sekarang pembelaan itu
diberikan selepas daripada berlaku sesuatu yang boleh disebut sebagai
pengesahan secara kerohanian tentang kebenaran-kebenaran itu) ialah
penulisannya berjudul ar-Risalah al-Qudsiyyah yang digubah sewaktu beliau
berada dalam ‘uzlahnya di Jerusalem, mungkin sebelum 492 H/1099 M sebab pada
bulan Sya’ban tahun tersebut Jerusalem ditawan oleh tentera Salib. Ini
dimasukkan ke dalam bab ke tiga kitab teragungnya Ihya’ ‘Ulumi’d-Din dalam bab
berkenaan dengan dasar-dasar ‘Aqidah; di dalam kitab itu beliau mencatitkan apa
yang dipelajarinya dalam masa beliau ber’uzlah sambil melakukan latihan-latihan
kerohanian dan menjalankan tafakur yang mendalam itu.
Dalam masa pengembaraan itu beliau terus
menerus mengarang kitab-kitab selain daripada Ihya’ ‘Ulumi’d-Din dan dari
semasa ke semasa beliau kembali memberi pengajaran kepada para muridnya. Beliau
merasakan bahawa ia mempunyai peranan untuk menyelamatkan agama daripada aliran
kezindikan dan kekufuran dan beliau mengarang kitab-kitab untuk menegakkan
akidah Ahl al-Sunnah wal-jama’ah sebagaimana yang jelas daripada bahagian
akidah dalam Ihya’ ‘Ulumi’d-Din dan kitab-kitab lain seperti al-Iqtisad
fi’l-I’tiqad; beliau juga mengarang kita tentang kesesatan Batiniyyah dalam
kitabnya al-Fad’ih al-Bataniyyah dan juga kesesatan dan kekufuran dalam kitab
Faisalat al-Tafriqah bainal-islam wa’z-zanadiqah. Beliau juga meneruskan
pemerhatiannya terhadap hadith-hadith Nabi s.a.w.
Bila beliau kembali ke Tus beliau meneruskan
hidup ‘uzlahnya serta tafakkur yang diamalnya; bagaimanapun Fakhr al-Mulk anak
lelaki Nizam al-Mulk yang memberi lindungan kepadanya, yang waktu itu menjadi
wazir kepada Sultan Sanjar menggesa beliau menerima jawatan professor ilmu
akidah di Maktab Maimunah Nizamiyyah di Nishapur yang beliau setujui akhirnya,
dengan perasaan hati yang berat; tetapi beliau tidak lama bertugas di sana dan
kemudiannya kembali ke kota kelahirannya lagi dan membina madrasah di mana
beliau memberi pengajaran di sana berkenaan dengan usul al-din dan tasawwuf.
Kemudiannya bila beliau disuruh oleh wazir
al-Said mengajar pula dan Nizamiyyah di Baghdad, beliau membuat pilihan untuk
menetap di Tus; di sana beliau hidup dengan aman dengan para muridnya; hidupnya
dipenuhi dengan pendidikan dan ibadat kepada Allah sehingga beliau meninggal
dunia pada 14 Jamadil-Akhir tahun 505 H/19 Disember 1111 M dengan kitab hadith
atas dadanya, kata kisahnya.
Ibn al-Jawzi meriwayatkan dalam kitab
al-Thabat ‘Inda al-Mamat kisah yang didapatinya daripada Ahmad saudara Imam
al-Ghazali bahawa “pada Hari Isnin (14 Jamadil-Akhir) pada waktu masuk Subuh
saudaraku Abu Hamid mengambil wudu’nya, sembahyang Subuh, kemudian berkata:
‘Bawa kepadaku kain kafanku’; beliau mengambil kain itu, menciumnya dan meletakkannya
pada matanya, sambil berkata: ‘Kami mendengar dan taat dengan penuh persediaan
untuk hadhir ke Hadhrat Tuhan, Raja (Yang Maha Berkuasa)’; kemudian beliau
melunjurkan kakinya, mengadap kiblat,dan meninggal dunia sebelum matahari
naik’.
Diceritakan bahawa Shaikh Abul-hasan
al-Shadhili rd bermimpi bahawa ia melihat Nabi s.a.w. menunjukkan Imam Al
Ghazali kepada nabi Musa dan ‘Isa, sambil bertanya kepada kedua mereka, ‘Adakah
terdapat orang alim yang bijaksana dalam umat anda berdua?’, jawab keduanya
tidak ada.
Dalam hayatnya beliau menyedari bahawa beliau
mesti bertanggungjawab untuk menghadapi aliran ilhad atau kekufuran yang sedang
muncul pada waktu itu menyanggahi ajaran Islam berdasarkan Qur’an dan Sunnah
sebagaimana yang ada dalam Ahlis-Sunnah wal-jama’ah. Kerana itu beliau memberi
pembelaan terhadap akidah Ahlis-Sunnah wal-jamaah dalam teks-teks karangannya.
Antara kita-kitab karangannya yang disebut
dalam catitan al-Zabidi dan Ibn al-Subki ialah:
|
·
Empat buah kitab dalam bidang fiqh mazhab Shafi’I; iaitu yang
besar al-Basit, yang sederhana besarnya al-Wasit, dalam tujuh jilid, dan yang
ringkas dalam dua jilid, iaitu al-Wajiz; yang diringkaskan dalam al-Khulasa.
Al-Wasit diberi syarahnya dan juga diringkaskan isinya antaranya oleh Imam
Nawawi dalam kitab Rawdah al-Talibin.
|
|
|
·
Empat buah kitab berkenaan dengan usul al-fiqh, al-Mankhul,
yang dikarang waktu gurunya Imam al-Haramain masih hidup, Shifa’ al-Ghalil fi
Masa’il (atau Masalik) al-Ta’lil; al-Maknun; dan al-Mustashfa. Kitabnya yang
boleh disebut sebagai ensiklopedianya tentang metodologi punca-punca Shari’ah
pendapatnya yang terakhir dalam bidangnya, ialah al-Mustashfa, yang banyak
kali diterbitkan di Mesir dan lainnya. Kitab ini dikarangnya selepas daripada
beliau keluar daripada ‘uzlah dan bersuluk serta tafakkur.
|
|
|
·
Ihya’ ‘Ulum al-Din, antara kitabnya yang terakhir.
|
|
|
·
Al-Imla’ ‘ala Mushkil al-Ihya’ yang di dalamnya beliau memberi
jawapan terhadap setengah persoalan-persoalan yang diperkatakan berkenaan
dengan kitab Ihya’ dalam zaman hidupnya. Kitab ini juga dipanggil dengan
judul al-Ajwibah al-Muskita ‘an al-As’ilah al-Mubhita.
|
|
|
·
Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, sekarang tidak ada lagi;
|
|
|
·
Jawahir al-Qur’an;
|
|
|
·
Al-Arba’un fi’t-Tauhid, asalnya bahagian daripada Jawahir
al-Qur’an;
|
|
|
·
Al-Asma’ al-Husna;
|
|
|
·
Al-Ma’akhidh berkenaan dengan perkara-perkara khilaf antara
ahli hukum Islam;
|
|
|
·
Tahsin al-Ma’akhidh, sebagai sharah bagi al-Ma’akhidh;
|
|
|
·
Kimiya’ as-Sa’adah, atau Rahsia Kebahagiaan, asalnya ditulis
dalam Farsi;
|
|
|
·
Lubab al-Muntakhal, berkenaan dengan kaedah-kaedah perbahasan;
|
|
|
·
Al-Iqtisad fi al-I’tiqad, yang dalamnya beliau membuat
kenyataan: ”Golongan yang menafsir ayat-ayat dan hadith-hadith secara zahir
lafaznya (al-Hashawiyyah) menegaskan ada arah bagi Allah manakala dalam masa
yang sama mengawal diri mereka daripada mengosongkan Tuhan daripada
Sifat-SifatNya (ta’til), dengan itu mereka terjatuh (ke dalam kesalahan)
menjadikan Allah seperti para makhluk (tashbih). Allah Taala mengurniakan
kejayaan kepada Ahl al-Sunnah dalam menetapkan kebenaran. Mereka mengakui
matlamat yang sebenar dan yang layak dalam menetapkan kaedah mereka (dalam
menetapkan akidah-p) dan mereka memahami bahawa arah dinafikan dan ditolak
bagi Allah kerana itu bergantung dengan jisim-jisim dan mengikutinya,
manakala memandangNya ditetapkan dengan teguhnya kerana itu secara
langsungnya menuruti ilmu dan melayaninya sebagai bahagian yang
menyempurnakannya”.
|
|
|
·
Mi’yar al-Nazar
|
|
|
·
Mihakk al-nazar
|
|
|
·
Bayan al-Qaulain, berkenaan dengan dua kaul Imam Shafi’i.
|
|
|
·
Al-Mustazhiri, penolakan terhadap faham Batiniyah;
|
|
|
·
Qawasim al-Batiniyyah, sebuah lagi penolakannya.
|
|
|
·
Tahafut al-falasifah, yang menyatakan terkeluarnya para ahli
falsafah daripada keimanan, yang diberikan responsnya oleh qadhi Andalus
iaitu Ibn Rushd al-Maliki dengan bukunya Tahafut al-Tahafut;
|
|
|
·
Al-Maqasid fi Bayan I’tiqad al-Awa’il, yang terkenal juga
sebagai Maqasid al-Falasifah.
|
|
|
·
Asrar Mu’amalah al-Din;
|
|
|
·
Asrar al-Anwar al-Ilahiyyah bi al-Ayat al-Matluwwah;
|
|
|
·
Akhlaq al-Abrar wa al-Najat Min al-Ashrar;
|
|
|
·
Asrar Ittba’ al-Sunnah;
|
|
|
·
Asrar al-Huruf wa al-Kalimat;
|
|
|
·
Bayan Fada’ih al-Ibahiyyah, yang menentang mereka yang tidak
percaya kepada Tuhan;
|
|
|
·
Bada’i’ al-Sani’;
|
|
|
·
Tanbih al-Ghafilin;
|
|
|
·
Talbis Iblis, nama kitab yang kemudiannya digunakan oleh Ibn
al-Jawzi untuk menentang al-Ghazali;
|
|
|
·
Khulasah al-Rasa’il ila ‘Ilm al-Masa’il, ringkasan kitab fiqh
al-Mukhtasar karangan al-Muzani;
|
|
|
·
Al-Risalah al-Qudsiyyah fi ‘Ilm al-Kalam;
|
|
|
·
Al-Sirr al-Masun sebuah kitab berkenaan dengan doa-doa atau
bacaan-bacaan dari ayat-ayat Qur’an dalam menghadapi musuh;
|
|
|
·
Sharah Da’irah ‘Ali ibn Abi Talib, juga terkenal sebagai
Nukhbah al-Asma’;
|
|
|
·
‘Aqidah al-Misbah;
|
|
|
·
‘Unqud al-Mukhtasar, ringkasan bagi ringkasan Imam al-Haramain
terhadap kitab Mukhtasar oleh Muzani;
|
|
|
·
Rasa’il (terdiri daripada surat-surat) yang diterbitkan dalam
suatu jilid dalam tujuh bahagian, terdiri daripada:
|
1. Al-Hikmah fi Makhluqat
Allah-Subhanahu wa Taala; Miu’raj al-Salikin;
2. Rawdat al-talibin wa ‘Umdah al-Salikin (dalam tasawwuf dan tauhid); Qawa’id aql-‘Aqa’id fi al-tauhid yang dimasukkan ke dalam kitab Ihya’ sepenuhnya; Khulasah al-Tasanif fi al-Tasawwuf yang di dalamnya beliau mentakrifkan tasawwuf sebagai “Ketahuilah bahawa tasawwuf itu dua perkara; bersifat benar dengan Allah Yang Maha Berkuasa dan berakhlak baik dengan manusia. Sesiapa yang mengamalkan dua perkara ini ia seorang sufi. Sifat benar dengan Allah ertinya seseorang hamba itu memutuskan habuan bagi nafsunya dalam menjalankan suruhan Tuhan. Berakhlak baik dengan orang ramai ialah tidak mengutamakan tuntutan diri sendiri ke atas tuntutan mereka sejauh mana tuntutan mereka itu berjalan dalam lingkungan hukum Syara’. Sesiapa yang bersetuju dengan amalan bercanggah dengan Syara’ atau yang menentangnya ia tidak mungkin menjadi orang tasawwuf, dan kalau ia mendakwa (ia orang tasawwuf) maka ia berbohong” (Terjemahan daripada catitan Dr G.F. Haddad dari Laman “Al Ghazalil Website” – petikan asal dari http://www.sunnah.org/history/Scholars/imam_alghazali.htm).
3. Al-Qistas al-Mustaqim;
Minhaj al-‘Arifin; al-Risalah al-Laduniyyah; Faisal al-Tafriqah (fi al-Takfir);
Ayyuhal Walad, asalnya tertulis dalam Farsi;
4. Mishkat al-Anwar; Risalah
al-Tayr; al-Risalah al-Wa’ziyyah; Iljam al-‘Awwam ‘an ‘Ilm al-kalam; al-Mad-nun
bihi ‘ala Ghairi ahlihi; al-Ajwibah al-Ghazzaliyyah fi al-Masa’il
al-Ukhrawiyyah;
5. Bidayah al-Hidayah;
Kimiya’ as-Sa’adah; al-Adab fi al-Din; al-Kashf wa al-Tabyin fi Ghurur al-Khalq
Ajma’in;
6. Sirr al-‘Alamain wa Kashf
ma fi al-Darayn; al-Durrah al-Fakhirah fi Kashf ‘Ulum al-Akhirah;
7. Qanun al-Ta’wil;
al-Ahadith al-Qudsiyyah; al-Munqidh Min al-Dalal; di dalam kitab ini beliau
membuat kenyataan: “Jalan tasawwuf terdiri daripada usaha membersihkan hati
daripada segala yang lain daripada Allah. Saya membuat kesimpulan bahawa
orang-orang tasawwuf adalah orang-orang yang menuntut dalam Jalan Tuhan, dan
perangai mereka adalah perangai yang terbaik sekali, dan adab-adab mereka
adalah adab-adab yang paling bersih; mereka telah menyucikan hati mereka
daripada segala yang lain daripada Allah dan mereka menjadikannya sebagai
jalan-jalan bagi berlalunya sungai-sungai mengalir, yang membawa ilmu atau
ma’rifah tentang Allah.”
|
Fatawa,
yang di dalamnya beliau membuat kenyataan:
|
“Soalan: Apakah jawapan yang perlu diberikan
kepada orang yang menganggap sembahyang sebagai jalan untuk mencapai ibadat
yang sebenarnya, dan pengenalan sebenar terhadap Allah, sehingga bila ia
mencapai yang kedua itu ia merasa tidak lagi perlu sembahyang, walaupun ia
memang masih juga melakukan sembahyang?
Jawapan: Orang yang terpedaya ini mestilah
sedar bahawa ibadat yang sebenar dan pengenalan terhadap Allah adalah
matlamat-matlamat sembahyang, tetapi bukan itu sahaja matlamatnya. Sebagaimana
juga keadaannya kata-kata yang dilafazkan dan yang tertulis dan bacaan-bacaan
untuk menjaga diri (al-ruqyah) ada kesan yang tertentu dalam mengawal orang
daripada ular – sebenarnya, ke arah menundukkan jin-jin dan setan-setan; dan
sebagaimana juga dengan doa-doa yang disampaikan kepada kita dalam
bentuk-bentuk puitis menarik khidmat dari para malaikat sebagai jawapan bagi
doa-doa orang-orang yang berdoa, fikiran manusia tidak terjangkau untuk
memahami cara dan ciri yang sebenar bacaan-bacaan ini, yang boleh difahami hanya
melalui kuasa seorang nabi, bila para nabi itu ditunjukkan makna itu semua
dalam lauh al-Mahfuz; demikian pula bentuk-bentuk amalan sembahyang yang
menjadikan orang ruku’ dan sujud dua kali, dengan bilangan-bilangan
(tasbih-tasbih dan bacaan-bacaannya), serta ayat-ayat Qur’an yang tertentu,
yang dibaca, dengan panjangnya secara tertentu dan juga bilangannya, waktu
matahari naik, tengahhari, dan waktu matahari jatuh, ada mempunyai kesan
tertentu bagi menenangkan ular yang bersarang dalam dada manusia dan
menimbulkan ular banyak kepalanya pula, (ini bahasa perlembangan-p) yang
menyamai bilangan perangai dirinya, yang menggigit dan memagutnya dalam kubur
(dalam alam barzakh-p) bahayanya merebak pergi kepada rohnya pula, sebagaimana
yang diisyaratkan oleh nabi dalam sabdanya – Allah memberi rahmat dan
kesejahteraan kepadanya – ‘Naga dengan sembilan puluh sembilan kepala diberi
berkuasa dalam kubur orang yang tidak beriman, yang melakukan sekian sekian
perbuatan ’Maka banyaklah naga yang demikian dalam tabiat kejadian manusia, dan
tidak ada yang boleh menundukkannya melainkan kewajipan-kewajipan yang
ditentukan oleh Tuhan”
Berkenaan dengan Imam al-Ghazali:
Ibn al-Subki menyebut kenyataan dari
orang-orang yang sezaman dengan Imam al-Ghazali:
|
·
Imam al-Haramain berkata: “Al-Ghazali adalah laut yang
menghilangkan dahaga”.
|
|
|
·
Murid al-Ghazali bernama Imam Muhammad ibn Yahya ibn Mansur
al-Naysaburi al-Shahid menyatakan: “Beliau adalah Shaf’I yang kedua”.
|
|
|
·
Asa’ad al-Mihani menyatakan: ”Tidak ada orang yang mencapai
ilmu seperti al-Ghazali, juga tidak ada yang mencapai kelebihannya melainkan
orang yang mencapai atau hampir-hampir mencapai kesempurnaan pada akalnya:”
|
Ibn al-Subki membuat huraian: “Aku sukakan
kenyataan sedemikian ini, kerana orang yang hendak melihat kepada tahap
pencapaian orang yang berada di atas daripadanya dalam ilmu, ia memerlukan
kepada akal dan kefahaman yang dalam. Saya mendengar syaikh dan imam (Syaikh
al-Islam Taqi al-Din al-Subki) berkata: ‘Tidak ada orang yang mengetahui
pangkat orang lain dalam ilmu melainkan orang yang sama setaraf dengan orang
itu, dan yang mengenalinya secara peribadi, dan ia mengenalinya hanya setakat
apa yang diizinkan untuknya mengetahui tentangnya’.”
Pemurniaan tasawwuf oleh Imam al-Ghazali rd:
|
·
Antaranya ialah pemurnian aqidah daripada pengaruh-pengaruh
yang menyesatkan. Kerana itu al-Ghazali rd memberi jawapan kepada
akidah-akidah yang sesat dan menyesatkan: Mu’tazilah, Jabariyyah, Khawarij,
Syi’ah, Batiniyyah, golongan ahli falsafah; semuanya adalah dengan tujuan
membina hidup kerohanian atau tasawwuf yang benar atas asas akidah yang hak.
Sebab itulah pada bahagian awal Ihya’nya selepas berbicara tentang ilmu beliau
memaparkan akidah Ahlis-Sunnah wal-jamaah, mengikut aliran Imam Abul-Hasan
al-Asya’ari. Demikianlah akidah yang hak ini mendapat pembelaan dalam
teks-teks beliau seperti Al-Iqtisad fil-I’taqad, Faisalut Tafriqah, Fada’ih
al-batiniyyah, dan lainnya.
|
|||||||||||||||||
|
·
Antaranya beliau membersihkan amalan-amalan rohaniah mengikut
rangka Qur’an dan Sunnah, serta mengikut Imam al-Shafi’I rd. Ini jelas dalam
beliau memberi huraian berkenaan dengan amalan-amalan ibadat seperti
sembahyang, puasa, zakat, haji, membaca Qur’an, mengamalkan wirid dan zikir
dan seterusnya, dengan tafakkur dan lainnya. Dengan ini amalan tasawwuf
berjalan dalam rangka ajaran kerohanian sebagaimana yang ada dalam fiqh imam
mujtahid.
|
|||||||||||||||||
|
·
Tambahan ialah beliau memberi makna-makna kerohanian di sebalik
amalan-amalan seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji di bawah apa yang
beliau sebut sebagai “asrar” dan adab-adab dengan maksud-maksud di
sebaliknya. Misalnya dalam hubungan dengan ibadat sembahyang beliau mahukan
orang yang melakukan sembahyang mengamalkan enam sifat batin, selain daripada
rukun tiga belas sembahyang itu dengan amalan-amalan yang sunatnya. Amalan
batin yang beliau kehendaki itu ialah memahami apa yang dibaca
(‘al-tafahhum”), hadir hati dalam melakukan ibadat dan jangan lalai (‘hudur
al-qalb”), takut kepada Tuhan (“al-khauf”), merasa dan menyedari keagungan
dan kehebatan serta kemuliaan Tuhan (“al-ta’zim”), harapkan rahmat dana
penerimaan Tuhan (“al-raja’ “), dan akhirnya malu, yaitu malu kerana
kekurangan-kekurangan diri dalam ibadat (‘al-haya’). Dengan adanya dimensi
rohani dalam ibadat maka amalan itu memperkasakan rohani manusia dan berkesan
dalam membentuk peribadinya, bukan ia setakat melakukan amalan secara
mekanikal semata, walaupun itu memang sah amalannya.
|
|||||||||||||||||
|
·
Dengan yang demikian Imam al-Ghazali menggabungkan
pertimbangan hukum fiqh dan pertimbangan rohani atau tasawwuf; dengan itu
teguhlah kedudukan tasawwuf dalam senarai ilmu-ilmu Islam, dan jadilah fiqh
sebagai ilmu yang menjaga kemaslahatan ummat, bukannya berupa sistem
mengadakan helah-helah supaya manusia tidak perlu sangat mentaati hukum
Syara’ sebab para fuqaha pandai membuat helah-helah.
|
|||||||||||||||||
|
·
Dalam bahagian akhir jilid tiga kitab Ihya’ Imam Ghazali
berbicara berkenaan dengan “ghurur” atau keadaan manusia terpedaya. Beliau
menyebut bagaimana manusia itu mesti mengelak dirinya daripada terpedaya
dalam mengamalkan agama supaya ia tidak sia-sia hidupnya di alam yang kekal
nanti. Antara keadaan terpedaya itu disebutkan oleh beliau seperti berikut:
|
|||||||||||||||||
|
·
Secara terang Imam Ghazali menyebut di kalangan mereka yang
menisbahkan diri kepada tasawwuf menjadi binasa kerana mereka mengambil berat
tentang resmi dan pakaian seperti orang-orang tasawwuf dengan kain yang
mereka pakai, dan tabiat mereka seperti ahli zikir. Beliau mahu supaya selain
daripada resmi lahiriah dan kerja-kerja atau cara hidup lahiriah seperti
orang sufi perlulah dijaga adab-adab batinnya.
|
|||||||||||||||||
|
·
Golongan yang menisbahkan mereka kepada tasawwuf juga ialah
orang-orang yang mengaku mempunyai pengetahuan yang tinggi-tinggi seperti
aspek-aspek mukasyafah termasuk ilmu tentang Tuhan dan sifat-sifatNya dengan
dalamnya tetapi ia mencuaikan amalannya dalam mentaati Tuhan dan menjalankan
aturan agamaNya dengan ikhlas.
|
|||||||||||||||||
|
·
Antaranya disebutkan orang-orang yang terpedaya ialah
orang-orang yang menganggap Syara’ itu adalah tidak penting kerana ia aspek
lahiriah tidak inti bagi agama. Ini bagi agama ia huraian tentang
perkara-perkara yang tinggi-tinggi dan mereka ini menghafal kata-kata istilah
yang tinggi-tinggi untuk menonjolkan diri sebagai orang-orang tasawwuf yang
mencapai darjat yang tinggi, walhal itu adalah hafalan saja
|
|||||||||||||||||
|
·
Dalam Faisalah at-Tafriqah Imam Ghazali menyebut tentang
mereka yang meringan-ringankan aturan Syara’ seperti orang-orang Zindik.
|
|||||||||||||||||
|
·
Kita boleh melihat kekuatan tasawwuf dalam huraian Imam
al-Ghazali berdasarkan kepada sifat-sifat keutamaan rohaniah terdiri daripada
pelbagai sifat yang perlu diperjuangkan kejayaannya dalam nafsu atau diri
batin manusia. Sifat-sifat itu antaranya ialah: taubat, syukur, sabar, takut,
harap, zuhud, faqir, tawakkal, tauhid, mahabbah dan syauk kepada Tuhan, niat
yang baik, keikhlasan, sifat benar, muraqabah, muhasabah, mengingati maut.
|
|||||||||||||||||
|
·
Sifat-sifat yang mesti dibuang daripada jiwa manusia antaranya
ialah: kegelojohan nafsu perut dan kelamin, kebinasaan lidah, (berkata-kata
tentang perkara yang tidak berfaedah, berbantah-bantah, memberat-berat diri
untuk menggunakan bahasa berperhiasan, suka memaki, melaknat,
mempersenda-sendakan orang, dan lainnya, mengumpat, mengadu orang), bercakap
orang awam berdalam-dalam berkenaan dengan Tuhan, sifat marah, berseteru,
dengki dan dendam, kegilaan kepada hidup dunia, bakhil, tamak haloba, riya,
suka kepada kemasyhuran, kasihkan pangkat, takabur, ujub atau tercengang dengan
kebaikan diri.
|
|||||||||||||||||
|
·
Dalam tasawwuf Imam al-Ghazali ada aspek yang menyentuh
hubungan manusia dengan Tuhan dalam pengalaman rohaniah sampai seolah-olah
manusia merasa dirinya seperti tidak ada yang sebenar-benar ada hanya Tuhan.
Ini boleh dikesankan dalam perbincangannya tentang “mahabbah” atau kasih,
kejinakan atau “al-uns”, serta hal tauhid. Aspek yang satu lagi ialah
bagaimana beliau menyebut Tuhan dengan Sifat-sifatNya yang sempurna dan
sediakala (qadim); ini seperti yang disebut di kalangan sufiah: “Tuhan kekal
sebagai Tuhan walaupun ia tajalli (seperti tajalli di bukit Tursina) dan
hamba kekal hamba walaupun ia meningkat makamnya.” Berhubung dengan ini maka
kita boleh memandang bahawa akidah itu akidah juga Tuhan adalah Yang
menjadikan, Yang Kekal dan Sediakala, manusia adalah makhluk, yang baharu.
Hanya kita perlu sebutkan bahawa pengalaman ahli-ahli rohani dalam sejarah
Islam adalah pengalaman yang benar dan kita menerimanya.
|
|||||||||||||||||
|
·
Dalam tasawwuf Imam al-Ghazali terdapat penghayatan akidah
Ahlis-Sunnah sampai ke kemuncaknya, dengan perlaksanaan amalan berdasarkan
fiqh imam mujtahid yang diikuti oleh orang yang berkenaan; amalan rohaninya
pula adalah terdiri daripada amalan-amalan yang diakui ulama, serta dengan
penekanan ke atas sifat-sifat keutamaan yang baik (‘asl-fada’il), dan
pengikisan dari jiwa sifat-sifat yang buruk (‘al-akhlak almadhmumah’);
pengiktirafan ada terhadap pengalaman rohani yang sahih yang sampai kepada
tahap bahawa orang yang berkenaan itu sampai mengalami bahawa wujud yang
sesungguhnya adalah Tuhan dan wujud hamba adalah wujud yang bukan hakiki,
walaupun memang ia “real” pada paras alam benda.
|
|||||||||||||||||
|
·
Dalam rangka akidah yang sedemikian ini selaraslah akidah
manusia di Dunia Melayu dan akidah ini hendaklah dikawal dan diteruskan
supaya ia bersemarak; janganlah dibiarkan akidah lain berkembang di kalangan
orang Dunia Melayu ini supaya aliran Ahl al-Sunnahnya tetap segar. Antaranya
hendaklah jangan dibiarkan berkembang di Dunia Melayu ini pegangan seperti
yang ada dalam ajaran Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab yang sampai menuduh Nabi
Adam a.s. syirik, Syaikh al-Busiri dalam ‘al-Burdah”nya dikatakan syirik,
dikatakan mengucap syahadah dengan tahu maknanya, dengan berikrar, dengan
menyeru kepada Tuhan belum menjadikan selamat nyawa dan harta, berdoa di
kubur wali sampai dikatakan syirik dan kafir, mengikut imam mujtahid sebagai
orang bertaklid sama seperti Orang Ahlil-Kitab mengambil rahib-rahib dan ahli
agama mereka sebagai “tuhan-tuhan selain Allah”.
|
Wallahu a’lam.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Saya mengambil maklumat ini daripada sumber-sumber berikut :
|
At-Tabaqat
al-Shafi’iyyah al-Kubra, oleh Imam Taj al-Din al-Subki (1327-1370), ed.’Abd
al-Fattah Muhammad al-Juluyy dan Mahmud Muhammad al-Tanahi, jld. VI.cetakan
pertama, Isa al-Babi al-halabi, Kahirah, hlm.191-227;
|
|
|
Siyar
A’lam al-Nubala’, Imam al-Dhahabi,
|
|
|
Tibyan
Kathib al-Muftari, Ibn ‘Asakir,
|
|
|
Shadharat
al-Dhahab,
|
|
|
Wafayat
al-Wafayat
|
|
|
Mir’at
al-Jinan
|
|
|
al-Bidayah
wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir
|
|
|
“The
Life of al-Ghazali with special reference to his religious experiences and
opinions”, D Black MacDonald, (JAOS).1887,
|
|
|
“Al-Ghazali:
Life and Works” oleh Massimo. Campanini (e-teks),
|
|
|
“Al-Ghazali:
Philosophy and Works”, oleh K. Nakamura, dari Routledge Encyclopedia of
Philosophy,
|
|
|
“The faith and
Practice of Al-Ghazali” artikel oleh Montgomery Watt,
|
|
|
“Al-Ghazali: A standard web biography and review of his
works” oleh G.F.Haddad,
|
|
|
Syarah
Ihya’ (Ithaf al-Sadat) oleh Murtadha al-Zubaidi, mukaddimah jld I hlm 1-55
|
|
|
M.Saeed
Shaeik, M.A. “al-Ghazali”, bab XXX, bahagian awal tentang Imam ini, termasuk
riwayat hidupnya dalam “History of Muslim Philosophy”, di bawah “al-Ghazali
Life and Works”, dlmhttp://www.muslimphilosophy.com/gz/articles/hmp-4-30.htm.
|
Ulasan
Catat Ulasan